Bernama 14.02.2009 - MIRI, 14 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Miri (MCC) bercadang menubuhkan Jawatankuasa Penduduk di 25 kawasan dalam bidang kuasanya sebagai penghubung bagi memberikan perkhidmatan kepada warga kota dengan lebih berkesan, kata Datuk Bandar Miri yang baru Lawrence Lai hari ini.
Berucap semasa majlis angkat sumpah jawatan anggota MCC di sini, beliau berkata pembentukan Jawatankuasa Penduduk adalah seiring dengan nasihat Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan kepada majlis untuk mewujudkan jaringan dan saluran komunikasi lebih berkesan dengan orang ramai.
Katanya setiap jawatankuasa akan dipengerusikan oleh seorang anggota MCC dengan wakil penduduk setempat bagi setiap kawasan menjadi ahli jawatankuasa.
"Jawatankuasa Penduduk ini akan bertindak seperti satu majlis kecil dan geran tahunan dicadang diperuntukan bagi membiayai program dan aktiviti mereka," katanya.
Beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan menangani hal-hal seperti pencegahan jenayah dan keselamatan setempat, penganjuran acara sosial dan budaya, kebajikan, infrastruktur, kebersihan, lanskap dan program pengindahan serta bantuan bencana.
Lai berkata kesemua 25 anggota Jawatankuasa Penduduk akan diserapkan ke dalam Biro Pembangunan Komuniti Bandaraya Miri yang dipengerusikannya dan Timbalan Datuk Bandar Mohd Chee Kadir sebagai timbalan pengerusi.
Sementara itu, Dr Chan semasa berucap berkata pembentukan Jawatankuasa Penduduk itu menjadikan MCC sebagai pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia mengambil langkah seumpamanya untuk mewujudkan kesedaran orang ramai akan polisi dan program yang dilaksanakannya.
Menerusi jawatankuasa seumpamanya, penduduk setempat akan berasa lebih bertanggungjawab untuk menyelenggara kawasan mereka bagi menjadikan bandar raya itu lebih sejahtera.
Lai mengetuai majlis angkat sumpah yang disaksikan oleh pemimpin tempatan termasuk Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Lee Kim Shin dan Residen Miri Datuk Ose Murang.





